Perpustakaan Semua Islam

81 - Menggulung - At-Takwīr

:1

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);

:2

Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;

:3

Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);

:4

Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;

:5

Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;

:6

Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;

:7

Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;

:8

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -

:9

Dengan dosa apakah ia dibunuh?

:10

Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;

:11

Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;

:12

Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;

:13

Dan apabila Syurga didekatkan;

:14

(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

:15

Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

:16

Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;

:17

Dan malam, apabila ia hampir habis,

:18

Dan siang, apabila ia mulai terang;

:19

Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,

:20

Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,

:21

Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

:22

Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);

:23

Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

:24

Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

:25

Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.

:26

(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?

:27

Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:

:28

Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

:29

Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.